Sukirman Cabar Ahmad Syauqey

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd. Sukirman Mustafa mencabar Pengarah Pilihan Raya PKR Kota Bharu, Ahmad Syauqey Abdul Ghani supaya membuktikan kononnya memorandum meminta Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir meletakkan jawatan mendapat sokongan ahli parti.

Katanya, sehingga kini Ahmad Syauqey masih gagal membuktikan perkara itu dan terus memburukkan pimpinan parti.

“Kita beri masa kepada Ahmad Syaugey untuk berbuat demikian. Jangan bercakap tanpa bukti. Sekiranya benar memorandum yang dibuat bagi mendesak Pengerusi PKR Kelantan mendapat sokongan ramai wakil parti sebagaimana yang didakwa, tunjukkan kepada kami.

“Malah, memorandum yang dihantar Ahmad Syauqey kepada PKR Pusat tidak mempunyai tandatangan ahli parti yang menyokong, sebaliknya hanya menyenaraikan 10 kegagalan Ab. Aziz sepanjang mengemudi parti itu di Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Ahmad Syauqey mengakui beliau antara individu yang merangka memorandum bagi mengumpul tandatangan untuk mendesak Ab. Aziz melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Kelantan.

Memorandum itu turut menyenaraikan 10 kegagalan Ab. Aziz dan tiga alasan mengapa bekas Ahli Parlimen Ketereh itu perlu melepaskan jawatan.

Tambah Sukirman, Ahmad Syauqey bakal berdepan dengan tindakan oleh Lembaga Disiplin PKR Pusat kerana memburukkan parti secara terbuka.

“Pimpinan PKR negeri sudah menghantar laporan berhubung tindakan yang dibuat dan kita menyerahkan perkara itu kepada PKR Pusat untuk menyelesaikannya.

“Kita yakin apa yang dibangkitkan oleh Ahmad Syauqey hanya suara individu bukannya majoriti. Buktinya, apabila kita mengadakan mesyuarat malam semalam, kehadiran ketua cabang amat menggalakkan melainkan tiga cabang gagal hadir akibat keuzuran.

“Jadi, mana dakwaan Ahmad Syauqey yang mengatakan ramai ketua cabang menyokong memorandum yang dibuat beliau?,” katanya. – 11 September 2017.