Tidak Profesional, Bagaimana Mahu Tadbir Negara Kata Anina

Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin melahirkan rasa kecewanya dengan mendakwa ‘dipulau’ sempena ulang tahun pertama parti itu.

Anina adalah individu yang bertanggungjawab dalam penubuhan parti serpihan UMNO itu.

Menulis dalam laman Facebooknya beliau berkata, parti serpihan UMNO itu hanya memberi tumpuan kepada kumpulan elit dalam parti berbanding kumpulan lain yang pernah memberi sumbangan dalam PPBM.

“Hari ini majlis ulangtahun pertama penubuhan PPBM. Baru umur setahun, satu-satunya ibu yang mengasaskan parti ini langsung tidak menerima sebarang jemputan ke majlis yang diadakan di Muar, Johor.

“Jika saya dilupakan, beritahu saya bagaimana mungkin saya percaya parti ini akan mengingati begitu ramai insan yang menggerakkan perjuangan ini sejak lebih dua tahun yang lalu,” katanya.

Anina turut mempersoalkan tahap profesionalisme parti itu terutama dalam insiden pemecatan beliau daripada jawatan Ketua Serikandi dan perlucutan keahliannya.

“Begitu ramai wanita hebat di seluruh Malaysia, tetapi saya satu-satunya wanita yang dipujuk rayu untuk menjadi Ketua Srikandi PPBM.

“Begitu cepat dalam tempoh tiga bulan juga saya satu-satunya pemimpin parti yang tidak diperakui angkat sumpah jawatan.

“Hanya watikah angkat sumpah saya seorang dari lebih 30 orang itu yang diklasifikasikan sebagai tidak sah oleh pucuk pimpinan parti. Dalam erti kata lain, saya dipecat.

“Jika parti ini gagal bersikap professional dalam pentadbirannya, beritahu saya bagaimana mungkin saya yakin ianya mampu professional dalam mentadbir sebuah kerajaan.

Tambahnya, ekoran fitnah terhadapnya sebelum ini, beliau percaya bekas partinya itu tidak mampu membela nasib rakyat negara ini sekiranya berjaya menjadi kerajaan kelak.

“Saya difitnah oleh ahli-ahli parti kononnya menerima RM7 juta dari UMNO dan PPBM gagal membela saya. Jika saya yang berkorban begitu banyak untuk parti juga gagal dibela oleh parti, beritahu saya bagaimana mungkin saya yakin mereka mampu membela 32 juta rakyat Malaysia.

“Sudah sembilan bulan berlalu namun saya masih setia bersama parti,” katanya. – 11 September 2017.