Tinggalkan PH Jika Ingin Kembali Bersama PAS

PAS hanya akan membuka pintu rundingan dengan PKR sekiranya parti itu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, syarat tersebut perlu dipatuhi PKR sekiranya mereka ingin kembali semula bersama PAS.

“Pintu rundingan ini dibuka semula dengan syarat PKR meninggalkan DAP dan PAN. Ruang yang diberikan oleh PAS dengan mengekalkan lantikan politik PKR di Kelantan adalah bagi memberi kesempatan kepada mereka untuk berfikir,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS negeri berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan PKR di Kelantan yang dilihat berlembut dalam soal kerjasama ini.

“PAS Kelantan sudah membuka ruang dengan mengekalkan jawatan lantikan politik ahli dan pimpinan PKR di negeri ini meskipun hubungan tahaluf siyasi antara mereka telah putus,” katanya.

Baru-baru ini sebuah akhbar melaporkan PKR tidak mahu melayan desakan sekutunya, PAN supaya menyatakan pendirian dengan jelas soal kerjasama mereka dengan PAS di negeri itu.

Perkara itu jelas apabila Pengarah Komunikasi PKR negeri, Mohd. Sukirman Mustafa hanya menegaskan bahawa parti patuh dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR agar tidak memutuskan hubungan dengan PAS. – 11 September 2017.