52,000 Pekebun Kecil Kelantan Layak Terima BMT

Lebih 52,000 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Kelantan layak menerima elaun di bawah Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bermula November sehingga Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, sehubungan itu, mereka diminta segera mendaftar
dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) selewat-lewatnya 31 Oktober depan bagi membolehkan bantuan sebanyak RM200 itu disalurkan.

Katanya, pekebun kecil dan penoreh getah yang layak diminta tidak menunggu saat-saat akhir untuk mengemukakan permohonan tersebut kerana dikhuatiri bakal menimbulkan masalah.

“Sebaik-baiknya mereka (pekebun kecil) mendaftar awal bagi memudahkan proses semakan selain mengelakkan daripada berlaku keciciran.

“Proses pembayaran bulanan sebanyak RM200 selama tiga bulan itu akan bermula November ini. Elaun tersebut bagi membantu meringankan beban mereka pada musim tengkujuh terutama di negeri Pantai Timur,” katanya ketika ditemui selepas program Moh Ngeteh Merdeka KKLW peringkat negeri Kelantan di Kampung Gong Gaal, Pasir Puteh.

Tambah Ahmad Jazlan, antara syarat asas membolehkan pekebun kecil menerima bantuan tersebut adalah mereka yang berdaftar dengan RISDA dan mempunyai kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).

“Permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang yang disediakan ataupun secara di atas talian,” katanya. – 12 September 2017.