Istiadat Penghormatan Terakhir Almarhum Sultan Kedah Bermula 11 Hingga 12 Tengah Hari

Acara penghormatan terakhir kepada Almarhum Baginda Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari ini.

Rakyat jelata boleh berbuat demikian pada masa berkenaan di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Menurut aturcara yang dikeluarkan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman Diraja, orang ramai diminta berpakaian rasmi dan sopan ketika hadir di Balai Penghadapan istana bagi upacara tersebut.

Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman Diraja itu akan dimulakan dengan bersiram, mengkafan jenazah serta menabur cendana pada 8 pagi.

Ini disusuli dengan solat jenazah dan penghormatan terakhir bagi orang awam dan kenamaan di Balai Penghadapan istana.

Sejurus sebelum pengiringan jenazah ke Makam Diraja Langgar untuk pemakaman, istiadat Pengisytiharan Keputusan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja dijangka berlangsung pada 1.30 petang.

Pemakaman dijangka bermula pada 4 petang disusuli dengan majlis tahlil serta doa selamat. – 12 September 2017.