PAS Sifatkan Pakatan Harapan Kuda Tunggangan DAP

PAS menyifatkan Pakatan Harapan sebagai kuda tunggangan DAP yang hanya digunakan untuk membantu meraih sokongan orang Melayu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, PAS juga pernah melalui situasi sama apabila cuba digunakan oleh DAP namun tidak berjaya sehingga terputusnya hubungan mereka.

“Dia (DAP) guna parti-parti yang ada dalam Pakatan Harapan sebab hendak tarik sokongan Melayu. Sebelum ini dia guna PAN, namun tidak berjaya sebab sokongan terhadap parti itu kecil.

“Sekarang DAP cuba guna PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pula, tetapi kita sedia maklum PPBM kekuatannya juga tidak sekuat mana.

“Pada pandangan kita, mengundi Pakatan Harapan adalah seperti memberi undi kepada DAP. Yang akan untung adalah percaturan politik DAP,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, berdasarkan pengalaman berkawan satu ketika dahulu, DAP dilihat sebagai sebuah parti yang anti Islam dan sekular.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Amar berkata, PKR kini dilihat berpecah kepada dua kumpulan iaitu yang menyokong kerjasama dengan PAS dan sebaliknya.

Bagaimanapun katanya, Pas tetap dengan pendirian tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama politik dengan parti itu. – 12 September 2017.