Lebih 20 Maut Pusat Tahfiz Terbakar

Lebih 20 pelajar termasuk tenaga pengajar dilaporkan maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelemat Kuala Lumpur berkata, kebakaran dipercayai bermula jam 5.10 pagi dari tingkat atas bangunan.

Bomba berkata, 20 mangsa dilaporkan cedera manakala tiga kritikal.

Mereka kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Obaidat Mohamad berkata, kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Katanya, litar pintas itu dipercayai berlaku di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.

Beliau berkata, perkara itu berkemungkinan berlaku kerana mayat-mayat pelajar dan guru tahfiz ditemukan di bahagian kiri dan kanan bilik asrama tingkat tersebut.

“Mereka dipercayai cuba menyelamatkan diri dari kawasan kebakaran di tengah bilik dan cuba menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap.

“Bagaimanapun, tingkap asrama tersebut dilengkapi jeriji menyukarkan mereka untuk keluar, tambahan pula hanya terdapat satu pintu sahaja untuk keluar dan masuk dari bilik asrama tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, pusat tahfiz berkenaan tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain telah diubah suai daripada struktur asal.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sijil perakuan berkenaan daripada pihak pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung bulan lepas, namun masih belum diluluskan.

“Mengikut pelan asal bangunan itu, ia berkonsep terbuka, tetapi telah dibina tembok dan tidak ikut pelan asal.

“Bangunan ini juga belum ada kebenaran untuk beroperasi daripada pihak bomba,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan, pengusaha sekolah tahfiz harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan sentiasa mengutamakan keselamatan para pelajar. – 14 September 2017.