PRU14: Tunggu Dululah Kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak belum membayangkan bila Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan diadakan biarpun soalan mengenainya kerap kali dilontarkan kepada beliau.

Buat ke sekian kalinya, menjawab soalan pemberita mengenai perkara itu pada akhir lawatan kerja tiga hari di Washington beliau hanya berkata “Tunggu dululah”.

Malah, ketika ditanya mandat pilihan raya bagi penggal ini hanya ada kurang setahun sahaja lagi beliau berkata, setahun adalah masa yang panjang.

“Setahun masa yang panjang (dalam politik),” katanya.

Tempoh matang pilihan raya bagi penggal ini akan berakhir pada Jun 2018.

Najib melawat Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Donald Trump.

Kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan di Rumah Putih pada Selasa. – 14 September 2017.