Rohingya: Najib Tunai Janji, Trump Desak Henti Keganasan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya membangkitkan kesedaran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung krisis etnik Rohingya di Myanmar.

Selepas Perdana Menteri memberi gambaran sebenar krisis tersebut, Trump bersetuju mengeluarkan kenyataan keras berhubung keganasan itu.

“Apabila saya perjelaskan kepada Trump tentang apa yang berlaku dan implikasinya, beliau telah mengarahkan supaya dikeluarkan satu kenyataan supaya keganasan terhadap Rohingya dhentikan,” kata Najib pada akhir lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat dari 11 hingga 13 September.

Najib melawat Amerika Syarikat dari 11 hingga 13 September atas jemputan Trump.

Menurut Najib, Trump juga telah mengarahkan pegawai-pegawainya mengkaji bentuk bantuan kemanusiaan yang boleh disalurkan kepada mangsa keganasan itu.

Perdana menteri berkata Amerika Syarikat tidak mungkin akan bertindak sedemikian tanpa Malaysia membawa isu itu kepada perhatian Presiden Trump dalam pertemuannya dengan pemimpin Amerika Syarikat di White House pada Selasa.

“Sebelum ini saya tidak fikir kenyataan seperti itu akan dikeluarkan tanpa sumbangan dari Malaysia dalam pertemuan tersebut untuk membawa isu ini ke tengah seperti mana janji saya kepada rakyat Malaysia.

“Jadi saya telah tunaikan janji untuk bawa isu ini kepada Presiden Trump,” katanya.

Sebelum bertolak ke Amerika, perdana menteri berjanji untuk membangkitkan isu penindasan terhadap masyarakat Islam Rohingya ke pengetahuan pemimpin negara kuasa besar itu.

Selepas pertemuan kedua-dua pemimpin di White House, Washington dan Kuala Lumpur mengeluarkan kenyataan bersama mendesak supaya keganasan terhadap masyarakat Rohingya dihentikan.

Lebih 379,000 etnik Rohingya dilapor melarikan diri dari wilayah Rakhine di Myanmar ke Bangladesh sejak 25 Ogos lepas. – 14 September 2017.