Jenazah Warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Selamat Dikebumi 2.40 Pagi

Jenazah Muhammad Amrul Nizam Sakarno, 25, yang terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tujoh, Tumpat kira-kira 2.40 pagi tadi.

Jenazah warden pusat tahfiz itu bertolak dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) lewat petang semalam tiba di rumah keluarganya kira-kira pukul 2 pagi disambut 1,000 penduduk kampung.

Sejurus tiba, solat jenazah diadakan di kediaman keluarganya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di kampung tersebut.

Turut kelihatan isteri Allahyarham, Noor Fatihah Osman, 23, anggota keluarga serta sanak-saudara mangsa.

Allahyarham baru sahaja melangsungkan majlis persandingan dengan Noor Fatihah minggu lepas selepas berkahwin pada September tahun lalu.

Upacara pengebumian dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Noor Fatihah bagaimanapun enggan ditemu wartawan kerana masih terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya itu.

Jenazah Allahyarham merupakan yang terakhir dikebumikan dalam tragedi kebakaran tersebut.

Semalam, 22 jenazah selamat dikebumikan.

Sebelas jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur manakala empat jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur manakala empat lagi jenazah, masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kuari, Cheras; Taman Putra Perdana, Puchong; Taman Medan, Jalan Klang Lama dan Paroi Jaya, Negeri Sembilan. – 16 September 2017.