Mesyuarat Khas Fokus Aspek Keselamatan Maahad Tahfiz

Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi melihat semula aspek keselamatan maahad tahfiz di seluruh negara Selasa ini.

Mesyuarat khas itu susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung yang mengorbankan 23 nyawa, kelmarin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya difahamkan ada maahad tahfiz yang mengikut piawaian bomba, ada juga yang mendapat pendaftaran yang diluluskan oleh Majlis Agama Islam tapi tidak mematuhi piawaian bomba.

“Macam mana pun elok kita melakukan ‘stock taking’ kepada setiap maahad tahfiz,” katanya selepas meninjau lokasi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah malam tadi.

Terdahulu, Najib mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V meninjau lokasi kebakaran tersebut.

Dalam kejadian 5.15 pagi kelmarin, seramai 23 terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat terbakar.

Najib menyifatkan tragedi itu amat menyedihkan namun boleh dielakkan sekiranya tiada pindaan dilakukan daripada pelan asal yang telah diluluskan oleh bomba.

“Bila dibina dinding tambahan menyebabkan ‘fire exit’ satu sahaja, bagaimanapun kita perlu tunggu siasatan pihak berkenaan sebelum membuat apa-apa kesimpulan berdasarkan fakta,” katanya.

Menurutnya, pusat tahfiz itu dalam perancangan untuk berpindah ke bangunan baharu dalam masa beberapa hari lagi.

“Tetapi takdir mengatasi segalanya. Saya bagi pihak kerajaan ingin menyampaikan rasa sedih dan takziah kepada keluarga mangsa tragedi. Ini satu tragedi yang saya amat terasa bagi diri saya secara peribadi.

“Anak-anak dan ustaz (pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah) ini lakukan ibadah di kediaman saya di Jalan Duta pada setiap malam Jumaat sejak sekian lama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kerajaan akan menyalurkan sumbangan kepada mangsa terlibat mengikut tiga kategori iaitu kehilangan anak, cedera dan trauma.

“Saya ingin maklumkan kerajaan akan beri sumbangan malah saya secara peribadi juga akan salur bantuan,” katanya.

Najib turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan tidak membantu dalam pembinaan serta pengurusan Maahad Tahfiz di seluruh negara.

Beliau berkata bagi tahun ini sahaja, kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta bagi membantu maahad tahfiz seluruh negara. – 16 Septembert 2017.