Nasihat PM Kepada Kaum Cina, Jangan Bazirkan Masa Dengan Pembangkang

Masyarakat Cina diingatkan agar tidak membuang masa dengan pembangkang kerana kerajaan juga memerlukan mereka dalam kerajaan.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kaum itu sebagai orang yang praktikal, justeru, mereka perlu melihat kepimpinan pelbagai kaum yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN).

“Anda adalah orang yang praktikal, anda tahu apa yang baik untuk anda. Ini adalah negara berbilang kaum dan mesti berdasarkan kerajaan berbilang kaum.

“Pada masa ini hanya 6% kaum Cina menjadi pemimpin dalam kerajaan. Ini terlalu sedikit.

“Kita tidak perlu membuang masa dengan pembangkang, jangan membazirkan masa dengan pembangkang,” kata Najib dalam ucapannya di Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan para peniaga Cina yang dibantu kerajaan selama ini.

“Apabila kita bercakap mengenai pertumbuhan ekonomi atau peluang perniagaan, kaum Cina sudah diakui di seluruh dunia sangat bekerja keras, tetapi walaupun dengan usaha gigih, anda masih memerlukan kerajaan yang boleh memberikan ‘kunci’ (peluang) kepada anda.

“Lihat saja Public Bank, Genting, Gamuda, IOI Development. Syarikat-syarikat ini diberikan kunci oleh kerajaan dan ia dipimpin oleh kerajaan (untuk berjaya),” katanya. – 16 September 2017.