RM30 Juta Bantu Naik Taraf Infrastruktur Pusat Tahfiz, Kerajaan PAS Kelantan Sambut Baik Pengumuman PM

Usaha Kerajaan Pusat untuk menaik taraf infrastruktur pusat tahfiz swasta di seluruh negara dengan mengumumkan bantuan sebanyak RM30 juta disambut baik kerajaan PAS Kelantan.

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ia satu permulaan yang baik dan akan berjaya jika melalui penyaluran dana yang teratur serta tepat kepada sasaran.

Beliau berkata, majoriti pusat tahfiz yang beroperasi secara persendirian mempunyai kekangan kewangan justeru menjadi tanggungjawab semua pihak untuk tampil membantu.

“Pusat tahfiz tidak mempunyai kewangan yang besar dan hampir kesemuanya hidup dengan bayaran yuran sahaja apatah lagi untuk meningkatkan ciri keselamatan yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Kita tahu segelintir pengusaha mungkin ada niat untuk berniaga tapi sebahagian besar adalah ikhlas demi memenuhi sebahagian tuntutan agama.

“Tragedi kebakaran yang baharu berlaku perlu menjadi iktibar dan kita sebagai masyarakat orang Islam patut beri sokongan moral dan material kepada semua pusat-pusat tahfiz seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan telah meluluskan dana sebanyak RM30 juta bagi membantu menaik taraf pusat tahfiz swasta di seluruh negara terutama dalam aspek keselamatan.

Kelmarin, asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur terbakar menyebabkan 23 pelajar termasuk guru terkorban. – 16 September 2017.