Malaysia Dipandang Tinggi, Kejayaannya Diakui Pemimpin Dunia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Tun Razak berkata Malaysia kini dipandang tinggi sejak pembentukannya 54 tahun lalu.

Perubahan itu katanya, amat ketara berbanding sebelumnya di mana Malaysia tidak dikenali di peta dunia namun, kini ia dilihat sebagai sebuah negara yang berjaya dan diakui oleh pemimpin dunia.

“Bila kita menyambut Hari Malaysia ini, kita boleh melihat bagaimana sebagai sebuah negara 54 tahun dulu.

“Siapa kenal Malaysia (dulu)? (Sebuah) negara pertanian, bilangan penduduknya tidak besar. Tetapi hari ini, kita merupakan sebuah negara yang berjaya.

“Sambutan dan penghormatan yang diberikan kepada saya oleh pemimpin dunia, termasuk yang terkini Presiden Amerika Syarikat (AS) sendiri (Donald Trump), kerana mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah, malam tadi.

Najib berkata, sebagai negara yang berdaulat, kini mampu menjadi negara pengeksport kapital.

“Sebab itu bila saya berdepan dengan presiden AS, saya membawa apa yang saya anggap sebagai ‘value proposition’.

“Misalnya, saya kata kita nak beli pesawat Boeing daripada AS, termasuk lapan Dreamliner (Boeing 787-9 Dreamliners), bukan semata-mata untuk memberi keuntungan kepada AS yang dipusingkan oleh pembangkang, tetapi agar syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mempunyai pesawat paling canggih di dunia.

“Takkanlah MAS nak ketinggalan dalam hal ini. Kita nak berada di barisan hadapan supaya kita boleh bawa lebih banyak lagi pelancong ke Malaysia, termasuk ke Sabah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pelaburan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) di AS yang dipersoalkan oleh pembangkang.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan KWSP meningkatkan keuntungan, sekali gus meningkatkan pengagihan dividen kepada pencarum.

“Jadi tak payahlah kita nak dengar pembangkang ini. Bila saya kata bahawa KWSP nak melabur di AS, mereka (pembangkang) kata apa guna kita melabur di AS, patut labur dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, KWSP mempunyai dana RM760 bilion yang boleh dilaburkan bukan saja di AS, malah di 39 negara lain.

“Keputusan ini bukan dibuat oleh orang politik, tetapi jawatankuasa pelaburan yang buat.

“Sebab itulah hari ini KWSP boleh beri dividen yang amat memuaskan kepada pekerja (pencarum) Malaysia,” katanya. – 17 September 2017.