Pengumuman Khas, Tidak Mungkin Pembubaran Parlimen

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan membuat pengumuman khas di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau dijadual mengadakan sidang akhbar di Tingkat 39, Menara Dato Onn pada pukul 4.45 petang.

Sidang akhbar itu dijangka dihadiri oleh semua ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Notis mengenainya tular di beberapa laman sosial termasuk aplikasi Whatsup sejak malam tadi.

Pengumuman penting itu dikuatkan lagi apabila lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Perlis dipendekkan untuk menghadiri sidang akhbar berkenaan.

Notis itu mencetuskan pelbagai persepsi terutamanya pembubaran parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Semua menteri besar dan ketua menteri juga dijangka berada pada sidang akhbar khas itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid Hamidi menafikan perdana menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini.

Menurut tweet oleh Berita Harian, Zahid menggesa semua pihak menunggu pengumuman itu dan tidak mempercayai berita palsu.

Dalam pada itu, ada yang mengatakan tidak mungkin berlakunya pembubaran kerana ia dilihat bercanggah daripada amalan biasa.

PRU12 dan PRU13 sebelum ini diumumkan di Jabatan Perdana Menteri di hadapan menteri Kabinet. – 17 September 2017.