Tangkis Fitnah Pembangkang Sepantas Mungkin

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa pemimpin UMNO di semua peringkat memainkan peranan lebih proaktif termasuk pantas dalam menangkis setiap fitnah dilemparkan pembangkang terhadap barisan kepemimpinan parti.

Beliau berkata, fitnah ditaburkan pembangkang wajar ditangkis sepantas mungkin bagi mengelak ia melarat menjadi persepsi negatif yang sukar diperbetul.

Dalam masa sama kata beliau, seluruh jentera digesa supaya lebih agresif dalam mendedahkan pelbagai kelemahan pembangkang di negeri yang ditadbir mereka iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Pembangkang hidup dengan fitnah, selagi kita tidak menjawab tuduhan, dia akan timbulkan lagi banyak perkara.

“Mereka lebih suka kalau kita tidak menjawab dan akhirnya membentuk persepsi bahawa apa yang difitnahkan itu adalah satu kebenaran.

“Diharap seluruh jentera UMNO yang merangkumi lebih 22,000 cawangan dan 191 bahagian juga tidak membiarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersendirian menghadapi serangan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut menyeru parti komponen memainkan peranan sama hebat dalam jentera di sesebuah kawasan walaupun tidak bertanding di situ.

“Kita mahu berkongsi kuasa jadi kita perlulah berkongsi kerja. Ada kawasan yang UMNO tidak bertanding, kita tetap berusaha bersungguh-sungguh membantu parti komponen. Itulah juga yang kita harapkan daripada parti komponen BN,” katanya. – 17 September 2017.