UMNO KB Lulus Usul Presiden, Timbalan Presiden Tidak Dipertanding

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu sebulat suara meluluskan usul menyokong supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, UMNO pernah mengalami saat getir sehingga diharamkan pada 1988 angkara perpecahan dan perbalahan dalaman disebabkan perebutan dua jawatan tertinggi berkenaan ketika itu.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya menginsafi sejarah tersebut dan menyedari tunjang kekuatan UMNO adalah terletak pada kesepakatan dan penyatuan ahli dalam mendokong Presiden dan Timbalan Presiden yang menerajui parti itu.

“UMNO Kota Bharu menyeru seluruh bahagian lain supaya memberi sokongan dan kesetiaan padu terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalannya supaya mereka terus kekal.

“Mereka berdua telah terbukti mampu mengangkat UMNO mengharungi pelbagai cabaran dan ancaman dari dalam dan luar negara,” katanya selepas Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mohamad Fatmi juga memberitahu, satu lagi usul yang diluluskan sebulat suara dalam persidangan kali ini ialah membantah campur tangan pihak luar dalam politik tempatan.

“UMNO Kota Bharu menolak campur tangan asing dan menggesa Wisma Putra segera mengambil tindakan tegas terhadap Amerika Syarikat (AS) atas sikap Jabatan Kehakiman (DOJ) yang terus menerus mengaitkan saman mereka denga 1MDB.

“Kita juga mendesak pemimpin menggunakan kuasa politik yang ada untuk menyekat sumber kewangan dalam negara yang digunakan untuk membiayai agensi luar dalam usaha menjatuhkan kerajaan demokratik yang dipilih rakyat,” katanya. – 17 September 2017.