76 Keluarga Mangsa Banjir Terima Rumah Kekal Baharu

Sebanyak 76 keluarga mangsa banjir di Kampung Kemubu, Dabong, Kuala Krai menerima rumah kekal baharu (RKB) selepas kediamannya musnah dibadai banjir penghujung 2014.

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Muhammad Yusoff Wazir berkata, sebanyak RM13 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk membina 76 unit RKB termasuk kos tanah.

Menurutnya, Kampung Kemubu adalah antara tanah yang dibeli oleh kerajaan untuk pembinaan RKB kepada mangsa-mangsa banjir di daerah berkenaan.

“Setiap keluarga di sini menerima sebuah rumah yang bernilai RM172,000 seunit termasuk dengan harga tanah serta infrastruktur yang disediakan.

“Kelewatan pembinaan RKB ini adalah disebabkan masalah tanah, namun masalah berkenaan berjaya diselesaikan hasil usaha daripada Kerajaan Pusat untuk membeli sendiri tanah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci RKB Mangsa Banjir 2014 di Kampung Kemubu.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman.

Muhammad Yusoff berkata, RKB di Kemubu membabitkan mangsa banjir di beberapa kawasan iaitu Kuala Lancang, Kuala Pergau, Kuala Gris dan Kuala Stong.

“Setakat ini, sebanyak 866 unit daripada 898 unit RKB untuk mangsa bah kuning di daerah ini telah siap dibina sepenuhnya.

“Manakala selebihnya sedang dilaksanakan di Manjor yang dijangka siap hujung tahun ini,” katanya. – 18 September 2017.