Bocor Maklumat, 13 Anggota Polis Disiasat

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan 13 anggotanya bagi membantu siasatan berhubung kebocoran maklumat penahanan suspek kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pagi Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Rusdi Md. Isa berkata, keterangan mereka diambil semalam mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat berhubung kebocoran maklumat kes berkenaan,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Pada Sabtu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan 7 remaja berusia 11 hingga 18 tahun ditahan berhubung kes kebakaran pusat tahfiz itu.

Enam daripada mereka positif dadah dan kesemuanya direman selama 7 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, fakta kes dan maklumat mengenai penahanan suspek serta beberapa gambar suspek tular di media sosial sebelum sidang media itu diadakan kira-kira jam 8 malam.

Dalam tragedi kebakaran 5.15 pagi itu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat tiga terbakar. – Bernama, 18 September 2017.