Hikmah GST Dilaksanakan

Ekonomi negara tidak mampu bertahan tanpa pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, kerajaan membuat keputusan yang sukar untuk memperkenalkan GST.

Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan itu tepat pada masanya selepas pendapatan Malaysia daripada hasil industri gas dan minyak menghadapi krisis.

“Ada hikmahnya kerana ketika kita laksanakan GST, harga minyak turun.

“Daripada AS$100 setong, ia turun kepada bawah AS$50, dan tiba-tiba lebih RM20 bilion pendapatan berkaitan minyak, hilang.

“Nasib baik kita laksanakan GST. Sebahagian pendapatan yang hilang itu ditampung oleh GST, dan kita berjaya bertahan dalam krisis minyak.

“Hingga hari ini, ekonomi masih berkembang,” katanya pada Persidangan GST 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, kutipan daripada GST dan cukai lain dimanfaatkan kepada rakyat menerusi subsidi untuk penjagaan kesihatan dan perkhidmatan lain.

“Bagi dasar fiskal jangka panjang, ia distrukturkan supaya kita tidak perlu meminjam terlalu banyak, tetapi defisit juga menurun, dan pada tahun ini, kita dalam kedudukan yang baik untuk mencapai defisit tiga peratus.

“Tahun depan, angkanya akan lebih rendah dan diharapkan pada satu hari kelak, kita akan dapat mencatat bajet seimbang,” katanya. – 18 September 2017.