PAS Pecahbelahkan Perpaduan Orang Melayu

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan PAS yang mengkafirkan orang Islam sebelum ini hanya kerana politik telah memecahbelahkan perpaduan orang Melayu.

Kata Mahathir, beliau tidak kisah untuk memanggilnya dengan apa sahaja panggilan sama ada penyangak, penyamun, diktator atau sebagainya.

Namun katanya, PAS tidak wajar mengkafirkan orang Islam hanya kerana tidak menyokong parti itu (PAS).

“Saya tidak harap musuh politik saya memanggil saya dengan nama baik. Jika mereka membuat demikian tentulah sukar bagi mereka menentang saya.

“Tetapi yang saya sedih dan marah ialah apabila PAS mengkafirkan saya dan semua orang Melayu yang tidak sokong PAS. Perbuatan ini dilarang oleh agama Islam.

“Dan mereka yang dikafirkan marah dan kecewa didakwa mereka tidak Islam,” kata Mahathir dalam tulisan di blognya, chedet.cc.

Minggu lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan kerana menganggap PAS sebagai “pengacau” dalam pilihan raya umum akan datang.

Tuan Ibrahim berkata, Mahathir punca Barisan Nasional masih berkuasa dan masalah UMNO hari ini adalah kesan daripada kepimpinan Mahathir.

Mahathir menjadi perdana menteri dan presiden UMNO selama 22 tahun antara 1981 hingga 2003. – 18 September 2017.