Ada Lagi Pemimpin PH Akan Kembali Kepada UMNO

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa mendakwa masih ada ahli politik Pakatan Harapan akan menyertai UMNO selepas bekas Menteri Besar Selangor Muhammad Muhamad Taib berbuat demikian.

“Saya sahkan memang ada anggota daripada Pakatan Harapan yang akan menyertai UMNO dan kembali kepada UMNO,” katanya selepas Program Bicara Minda dan Sesi Dialog Bersama Rakyat di Kolej Mara Banting semalam.

Tambahnya, pengumuman mengenainya akan dilakukan secara berperingkat.

Sebelum ini media melaporkan terdapat lapan anggota politik lain dari Selangor sepatutnya menyertai Muhammad Taib ketika beliau diumumkan menyertai kembali ke pangkuan UMNO Ahad lalu.

Mengulas lanjut Annuar berkata, pergeseran dalaman antara parti-parti komponen Pakatan Harapan membuatkan anggota politik berkenaan berminat dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Pakatan Harapan ini bukan sebenarnya mahu membantu rakyat dan membangunkan negara, mereka hanya berebut kuasa dan membuat tohmahan dan fitnah semata-mata.

“Dan sekarang banyak tohmahan dan fitnah mereka ini telah terjawab dengan sendiri, isu kononnya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan ditangkap jika ke Amerika Syarikat.

“Isu 1MBD, wang derma daripada keluarga diraja Arab Saudi, semua itu sudah terjawab dan rakyat sendiri dapat melihat permainan kotor politik pembangkang ini,” katanya. – 19 September 2017.