Arak Buruk Di Sisi Semua Manusia

Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin mempertahankan pendirian kumpulan orang Islam yang mengecam festival bir.

Dalam reaksi Mohd. Asri menerusi laman sosial Facebooknya berkata, walaupun meminum minuman beralkohol adalah hak orang bukan Islam tetapi penganjuran festival boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat.

“Arak itu buruk di sisi semua manusia yang waras. Ia telah menjadi masalah terhadap masyarakat termasuk negara maju sekalipun. Kalau seseorang enggan atau tidak setuju pesta arak bukan bererti dia enggan dan menolak hiburan. Betapa banyak golongan beragama yang turut berhibur dan bernyanyi dengan cara yang santun.

“Apa kaitan pula poligami yang halal dengan pesta arak? Tidakkah pesta arak itu menjerumus kepada perzinaan dengan wanita yang pasti mencemar kehormatan di sisi semua agama. Sementara poligami yang bertanggungjawab mempunyai peraturan dan kewajipan sebagai suami dan isteri.

“Non-muslim (bukan Islam) nak minum arak itu hak mereka tapi penganjuran pesta boleh memberikan kesan negatif kepada masyarakat awam. Sebagai orang muslim patut ada etika ketika memberi pandangan berhubung dengan perkara yang jelas seperti ini,” katanya.

Reaksinya itu difahamkan merujuk kepada seorang ahli politik dari DAP Datuk Zaid Ibrahim mengenai mereka yang menentang festival arak itu.

Kenyataan Zaid berbunyi: “Yang bantah pesta ini kumpulan yang sama. Mereka tak mahu pesta, hiburan, tak mahu nyayian. Isteri dua tiga boleh, lagi muda lagi baik #fb”. – 19 September 2017.