Mampukah Bibi Ramjani Ulangi Pencapaian Annuar

Sejak kelmarin perbualan di kedai-kedai kopi dan mana-mana tempat hanya tertumpu mengenai kejayaan Bibi Ramjani Ilias Khan yang menjadi wanita pertama menerajui kerusi No-1 Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Pencapaian itu cukup luar biasa apabila nama Bibi Ramjani sebelum ini langsung tidak dikenali jauh sekali untuk berada di kerusi panas tersebut, yang tanggungjawabnya cukup besar.

Bola sepak ibarat nyawa bagi rakyat Kelantan, sekarang ia berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan sesiapa sahaja yang berada di kerusi tersebut perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkannya.

Dalam Kongres Agung Tahunan kali-63 Kafa kelmarin, usahawan wanita itu mengenepikan cabaran calon pilihan, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Pengurus Desa Murni Batek itu mendapat 32 undi meninggal jauh Muhammad Nasir yang sekadar memperolehi 16 undi menerusi dua pusingan undian.

Muhammad Nasir yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkaf pada mulanya dikatakan bakal menang mudah namun keadaan berlaku sebaliknya apabila ahli gabungan sepakat memilih Bibi Ramjani.

Kongres tersebut juga menyaksikan kesemua muka lama yang menerajui Kafa kecuali Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah tewas dalam pemilihan.

Malah jawatan Naib Presiden juga diisi muka baharu iaitu Datuk Aizuddin Mohd. Ghazali, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim.

Keputusan mengejut yang dibuat oleh ahli gabungan Kafa kerana mereka dikatakan mahukan pengurusan baharu yang tidak dibayangi oleh bekas Presiden, Tan Sri Annuar Musa.

Persoalannya mampukah Bibi Ramjani mengulangi pencapaian luar biasa Annuar sepanjang hampir dua dekad memimpin Kafa dengan pelbagai kejayaan telah dikecapi pasukan bola sepak Kelantan termasuk pernah memenangi kejuaraan treble pada tahun 2012.

Malah Annuar juga berjaya mewujudkan jenama The Red Warriors yang mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat bola sepak di negeri itu.

Namun entah di mana silapnya, bola sepak Kelantan sejak akhir-akhir ini meniti jalan suram dengan pelbagai masalah timbul khususnya melibatkan isu tidak bayar gaji pemain, kemerosotan mutu permainan sehingga membuatkan Kelantan kini hampir terjerumus jatuh ke Liga Perdana selain tersingkir awal dalam saingan Piala Malaysia.

Malah beberapa penaja besar seperti Vida Beauty juga menarik diri.

Bibi Ramjani dilihat bakal memikul tanggungjawab cukup besar dan harapan setinggi gunung peminat yang ingin melihat era baharu bola sepak Kelantan dibawah kepimpinan beliau.

Antara janji awal Bibi Ramjani sebagai Presiden baharu Kafa adalah untuk mengangkat semula zaman kegemilangan bola sepak Kelantan.

Malah ibu kepada empat orang cahaya mata itu juga bertekad dan akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan tunggakan hutang termasuk gaji pemain.

“Sukar untuk saya percaya dengan kemenangan ini. Namun kepercayaan yang diberikan ini akan digalas sebaik mungkin demi kegemilangan bola sepak Kelantan,” katanya ketika ditemui di Perdana Resort selepas diumumkan sebagai pemenang jawatan Presiden Kafa.

Kini teka teki siapa bakal menerajui jawatan Presiden Kafa sudah terjawab. Seluruh rakyat Kelantan marilah sama-sama kita memberi peluang kepada Bibi Ramjani menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

Kembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kelantan selepas berada dalam keadaan suam-suam suku kebelakangan ini.