Nik Abduh Tanya DAP Berjuang Dibawah Pengaruh Alkohol Ke?

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyindir keras tindakan pemimpin DAP yang membantah langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak penganjuran pesta arak di Kuala Lumpur Oktober depan.

Dalam status facebooknya hari ini, Nik Mohamad. Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dilihat menyindir tindakan wakil-wakil DAP itu yang disifatkan berjuang di bawah pengaruh alkohol.

“DAP ni berjuang di bawah pengaruh alkohol ke?. Bikin malu agama, bangsa dan negara je,” katanya dipetik daripada status facebooknya hari ini.

Semalam, sekumpulan wakil rakyat DAP memohon supaya DBKL mengkaji semula penolakan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ yang dijadualkan pada 6 hingga 7 Oktober 2017 di Solaris Damansara.

Dalam satu kenyataan bersama oleh empat Ahli Parlimen DAP serta seorang daripada PKR, mereka menzahirkan rasa kesal apabila Pihak Berkuasa Tempatan itu cuba mengalih pandangan dengan berlagak jadi ‘jaguh agama’.

“Adalah jelas sasaran dan pengunjung bukannya orang Melayu, tetapi menyasar kepada pengunjung dan peniaga bukan Islam dan juga pelancong asing.

“Tindakan DBKL ini memang tidak prihatin dan kelihatan tunduk dengan permainan parti politik serta tidak mempedulikan semangat muhibah pelbagai kaum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” dakwa mereka.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Datuk Dr Tan Kee Kong (Wangsa Maju) dan Lim Lip Eng (Segambut).

DBKL sebelum itu menolak penganjuran festival berkenaan yang sebelum ini mendapat bantahan keras daripada PAS. – 19 September 2017.