Penyalahgunaan Dadah Kalangan Pelajar Meningkat

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd. Mokhtar Mohd. Sharif berkata penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar semakin meningkat.

Walau bagaimanapun katanya, keadaan itu masih terkawal.

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, seramai 1,330 pelajar sekolah rendah dan menengah ditangkap kerana pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

“Pada 2014 sahaja, 439 pelajar ditangkap, meningkat kepada 443 orang pada 2015 dan 448 tahun lepas.

“Majoriti yang ditangkap kerana dadah adalah pelajar sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata, faktor utama remaja terlibat dengan gejala dadah ialah pengaruh rakan sebaya, pendedahan kepada dadah dan pengabaian keluarga.

Statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan menunjukkan jumlah penagih dadah remaja dalam usia pelajar sekolah rendah dan menengah meningkat sejak beberapa tahun lepas.

Terdapat 1,595 penagih dadah berusia antara 16 hingga 19 tahun dikenalpasti tahun lepas, meningkat 16 peratus berbanding 2015.

Sementara itu, jumlah penagih dadah berusia antara 13 hingga 15 tahun juga meningkat daripada 45 orang pada 2015 kepada 85 pada 2016.

Trend itu menurun pada 2010 hingga 2013 tetapi meningkat pada 2014, apabila terdapat 1,173 penagih dalam kumpulan umur 16-19 tahun dan 28 orang dalam kumpulan umur 13-15 tahun.

Belia berumur antara 20 hingga 24 mewakili 18 peratus atau 5,572 penagih dadah yang dikesan tahun lepas. – 19 September 2017.