Kafa Belum Terima Wang Tajaan RM2 Juta

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan memberitahu persatuan itu belum menerima wang tajaan hampir RM2 juta.

Justeru beliau merayu penaja skuad The Red Warriors (TRW) bagi musim 2017 melunaskan wang tajaan tersebut seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Saya minta jasa baik penaja terbabit supaya menjelaskan wang tajaan dengan segera. Pemain pun dah tunaikan tanggungjawab dengan mempromosikan jenama syarikat mereka pada jersi.

“Sekurang-kurangnya wang itu dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan beberapa perkara berkaitan,” katanya.

Mengulas mengenai tunggakan gaji pemain Liga Super, Bibi memberitahu, beliau telah menyelesaikan gaji beberapa pemain Kelantan yang masih tertunggak pada bulan Ogos.

“Saya sudah selesaikan sebahagian gaji pemain (Liga Super) bersama dengan gaji pemain Piala Presiden. Untuk pemain lain, kita akan cuba selesaikan selepas mendapat wang tajaan yang masih belum dibayar,” katanya.

Jelas Bibi, Kafa hanya belum melunaskan gaji pemain Liga Super pada bulan Ogos sahaja.

“Sebenarnya Kafa hanya belum bayar satu bulan gaji pemain. Bagi saya, saya tak anggap itu satu tunggakan.
“Saya minta pemain yang belum dapat lagi gaji mereka supaya bersabar. Beri kami masa untuk dapatkan semula wang tajaan yang masih belum dibayar,” katanya. – 20 September 2017.