Keadaan Anwar Stabil

Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam akibat masalah tekanan darah kurang stabil.

Isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, bekas ketua pembangkang itu kini masih dalam pemantauan doktor dan dijangka keluar hospital Jumaat ini.

“Alhamdulillah… Mungkin Anwar akan keluar hospital hari Jumaat. Beliau kini masih dalam pemantauan doktor,” katanya yang juga Presiden PKR.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dikejarkan ke HKL pada jam 2 petang semalam akibat masalah tekanan darah kurang stabil.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Anwar memerlukan rawatan fisioterapi intensif akibat kecederaan lama di bahu.

Sementara itu, Pengarah HKL Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, Anwar dibawa ke HKL untuk menjalani pemeriksaan berjadual.

Katanya, Anwar tidak mengalami masalah kesihatan cuma akan berada di hospital untuk beberapa hari bagi pemeriksaan yang akan dikendalikan oleh sepasukan pakar.

“Ia adalah pemeriksaan berjadual dan pasukan pakar akan mengendalikan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini. – 20 September 2017.