Nasib 7 Suspek Bakar Tahfiz Ditentukan Selepas Siasatan Selesai

Nasib tujuh remaja yang disyaki membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara hanya akan diketahui selepas semua proses siasatan kes itu selesai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada pihak berkaitan seperti Jabatan Kimia, Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Beberapa laporan lagi akan dilengkapkan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi (HLC) mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Perdana Putra hari ini.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas soalan sama ada ibu bapa suspek akan turut didakwa sebagai pengajaran kepada ibu bapa lain kerana mengabaikan anak-anak mereka sehingga melakukan kesalahan.

“Ia bergantung kepada cadangan kita nanti. Kita perlu berbincang dengan Peguam Negara dan pegawai saya sedang menyiapkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis perlu melihat semua aspek dan keutamaan kini diberikan kepada proses melengkapkan siasatan kes. – 20 September 2017.