Promoter Curi Pewangi Dipenjara 13 Hari Denda RM500

Gambar Sinar Harian

Seorang promoter dihukum penjara 13 hari dan denda RM500 di mahkamah majistret Kota Bharu, semalam kerana mencuri barangan penjagaan untuk kelihatan cantik dan berbau wangi.

Tertuduh, Nor Maliyani Mat Nor, 22, dihukum selepas mengaku salah di hadapan Majistret, Nik Habri Muhammad.

Tertuduh didakwa mencuri Ambi Pur Gel Fresh&Floral 180G; Ambi Pur Gel Relaxing Lavender 180G; lima Gillete Daisy; dua Glade Hang It Fresh Lavender; Ubat Gigi Colgate Plus Sugar Acid Neutral 225G; Listerine Total Care 250ml; Pucelle Fantasy Love; Minyak Wangi Enchaunter; Pewangi Ketiak Enchaunter 75ml; Minyak Wangi Bad Lab Deo Spray 100ml; Syampu Loreal Paris Elseve 325ml.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya dalam kompleks membeli belah di Jalan Hamzah, pada jam 9.40 malam 7 September lalu.

Pada masa sama, tertuduh juga mencuri, dua bar Coklat Cadbury Dairy Milk Bar Oreo 130g dan Roast Almond 165 g yang keseluruhannya bernilai RM168.25.

Ketika menjatuhkan hukuman itu Nik Habri menasihatkan tertuduh supaya mengambil pengajaran atas kesalahannya itu.

“Buat apa kamu curi semua barang ni? Mencuri untuk comel, untuk wangi? Kalau lapar tu, lainlah ceritanya.

“Mengikut peruntukkan seksyen ini (380 Kanun Keseksaan), mencuri dalam bangunan membolehkan kamu didenda dan dihukum penjara sehingga 10 tahun. Hukuman penjara pula adalah wajib, jangan main-main, kesalahan kamu membawa hukuman yang serius,” katanya. – 20 September 2017.