Contohi Masyarakat Kelantan Bina Bangsa Usahawan

Kegigihan masyarakat Kelantan dalam bidang perniagaan harus dicontohi orang Melayu di negeri lain dalam usaha membina ‘bangsa usahawan’.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, banyak perusahaan Melayu di negeri itu bertapak sejak tiga hingga empat generasi yang lampau berbanding orang Melayu negeri lain yang baharu bermula.

“Keistimewaan orang Melayu Kelantan berbanding negeri lain adalah mereka berniaga sejak 1960-an lagi dan perusahaan itu dikekalkan generasi seterusnya sehingga hari ini.

“Kita mahu Bumiputra Melayu menukar sikap mahu bergantung dengan orang lain dan bekerja makan gaji sebaliknya kita yang perlu fikir bagaimana hendak beri pekerjaan kepada orang.

“Sebab itu orang Melayu kena jadi bangsa usahawan, kita mesti menjadi bangsa dan keluarga yang berniaga, itulah harapan kita untuk Melayu masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian Kilang Wau Tradisi Enterprise iaitu sebuah kilang pengeluar rempah ratus di Kompleks Premis Keusahawanan SME Bank di Pengkalan Chepa hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kelantan, Nik Mohd. Fahim Muhaimin; Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Nik Faizal Nik Ahmad dan Pengarah Urusan Wau Tradisi Enterprise, Mohd Anazim Adnan.

Syarikat Wau Tradisi Enterprise telah beroperasi sejak 1967.

Ia adalah salah satu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Kelantan yang memperoleh penarafan empat bintang program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) dari Perbadanan Perusahaam Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp).

SME Corp merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. – 21 September 2017.