Petunjuk Pusat Tahfiz Dibakar

Jabatan Bomba dan Penyelamat menemui beberapa petunjuk dan bukti pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar minggu lalu sengaja dibakar.

Menurut jabatan itu, petrol disimbah pada pintu, rak penyangkut tuala, rak kasut dan dinding pusat tahfiz tersebut.

Ketua Pengarahnya Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, berdasarkan kenyataan daripada saksi dan mangsa kebakaran bermula di pintu masuk utama ke asrama di tingkat tiga.

“Ia disokong dengan bukti seperti pengelupasan pada dinding, kehilangan jisim pada pintu, siling, almari dan rak kasut.

“Terdapat juga tanda kebakaran pada dinding dekat pintu masuk. Ini mengukuhkan lagi hasil penemuan dan kesimpulan kami,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Khamis lepas, 21 pelajar dan dua guru terbunuh selepas pusat tahfiz yang terletak di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu terbakar.

Susulan itu polis menahan tujuh budak lelaki yang dipercayai membakar pusat tahfiz itu selepas berlaku insiden ejek-mengejek antara mereka dengan pelajar tahfiz.

Reman mereka berakhir esok. – 21 September 2017.