Ancaman Terhadap Islam Semakin Serius

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) melihat ancaman terhadap Islam menerusi pelbagai kegiatan dan aktiviti yang dianjurkan pihak tertentu sehingga boleh meruntuhkan akhlak semakin serius.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali menggesa kerajaan supaya menyeragamkan sebuah undang-undang lebih tegas bagi menangani isu-isu seperti ini yang jelas tidak menghormati sensitiviti Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Katanya, sejak akhir-akhir ini, dapat dilihat usaha pihak tertentu kononnya atas nama kebebasan dan hak dengan sesuka hati cuba menganjurkan pesta arak, parti muzik gay serta banyak lagi aktiviti yang boleh memberi ancaman terhadap Islam.

“Saya rasa sudah sampai masanya kerajaan kena melihat ancaman terhadap Islam ini dengan lebih menyeluruh.

Sememangnya kita menghormati hak dan kebebasan agama tetapi tidak bererti mereka boleh buat sesuka hati,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama penduduk di Kampung Atas Alor, Slow Machang, Pasir Mas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak layak mengamalkan kebebasan namun kebebasan itu janganlah sampai boleh meruntuhkan moral dan akidah masyarakat. – 22 September 2017.