Kerajaan Arah Siasat Piawaian Keselamatan Pusat Tahfiz

Kerajaan mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan siasatan terhadap piawaian keselamatan di semua pusat tahfiz seluruh negara bagi memastikan tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini tidak berulang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pusat tahfiz yang tidak mematuhi piawaian akan diberikan tempoh untuk meningkatkan tahap keselamatan masing-masing.

Katanya, mana-mana pusat tahfiz yang gagal berbuat demikian akan diarahkan tutup.

“Sebab ini soal keselamatan anak-anak kita yang tidak boleh kita kompromi dan saya setuju ini adalah ‘time bomb’ yang tidak boleh kita pandang ringan.

“Ini soal nyawa anak-anak kita dan ini tanggungjawab kita, bukan soal kuasa kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri tetapi ini soal keselamatan, kebajikan dan lebih-lebih lagi nyawa anak kita,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun 1439H/2017M di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 5.15 pagi 14 September lalu, 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut.

Najib berkata, peristiwa yang berlaku kepada pusat tahfiz tersebut adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan kejadian itu masih menghantui fikirannya sehingga ke hari ini.

“Saya tidak dapat percaya ada remaja dalam belasan tahun boleh merancang perbuatan jenayah yang begitu teliti sehingga menyebabkan 21 pelajar tidak berdosa maut serta dua orang guru terkorban.

“Apalah dosa mereka? Takkan lah bergaduh sebab futsal boleh berlaku jenayah ini. Inilah yang menghantui fikiran saya,” katanya. – 22 September 2017.