Rempuh Surau, Dua Lelaki Parah

Dua lelaki parah apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh bahagian depan sebuah surau di Kampung Air Parit, Rantau Panjang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari itu, kereta jenis Proton Wira yang dipandu Mohd. Hanif Mokhtar ,22, bersama rakannya, Mohamad Amizi Kamaruddin, 22, dikatakan dalam perjalanan dari Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mokhtar Che Mah, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 2 petang sebelum bergegas ke lokasi tersebut bersama lima anggota lain.

Beliau memberitahu, pihaknya mendapati salah seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Kita membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit itu sebelum membawa kedua-dua mereka ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, seorang saksi, Azree Shaari, 44, berkata, dia yang sedang bertugas di pintu dua Zon Bebas Cukai Rantau Panjang terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah surau berkenaan.

Katanya, kereta tersebut didapati melanggar salah satu tiang di bahagian depan surau itu.

“Ketika kejadian, tiada orang di kawasan sekitar. Saya dan beberapa orang di sini cuba membantu namun mangsa di bahagian pemandu tersepit dan mengalami kecederaan parah.

“Kami terpaksa menunggu kehadiran pihak bomba untuk datang membantu,” katanya. – 22 September 2017.