UMNO Bantu Rakyat Siri Kedua

Biro Kebajikan UMNO Malaysia hari ini melancarkan program UMNO Bantu Rakyat siri kedua.

Program tersebut memfokuskan kepada 60 kawasan membabitkan 60,000 rumah sasaran di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia adalah kesinambungan siri pertama untuk memperkukuhkan imej parti yang mengutamakan kebajikan rakyat.

“Kita harap program ini menjadi pelengkap kepada pelbagai gerak kerja parti yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam usaha membela dan membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di ibu negara hari ini.

Pada 19 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Program UMNO Bantu Rakyat Fasa Pertama dengan 71 lokasi tumpuan untuk menyantuni 300,000 kumpulan sasar.

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan lebih RM150,000 bagi setiap kawasan dan jumlah itu berbeza mengikut kawasan dan jumlah penduduk terlibat.

“Di setiap lokasi, kita memperuntukkan lebih daripada RM150,000 malah ada sesetengah tempat mencecah RM200,000,” jelasnya.

Antara program yang disusun dalam program siri kedua ini ialah pemberian 20,000 akaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar-pelajar tahun pertama, klinik motosikal percuma anak-anak muda dan golongan yang memerlukan.

Selain itu katanya, turut diadakan ialah pemeriksaan dan membaik pulih pendawaian elektrik di rumah-rumah dipilih dengan bantuan pelajar-pelajar daripada Giat MARA.

Antara lokasi program siri kedua ini ialah enam lokasi di Pahang, Johor, Kelantan, Kedah, Perlis, Melaka, Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Perak dan berakhir di Selangor. – 22 September 2017.