Vida Mahu Bawa Pelajar Tahfiz Tunai Umrah

Pengasas produk kecantikan Vida Beauty Datuk Seri Hasmiza Othman berhasrat mengambil 18 pelajar yang terlibat dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini sebagai anak angkat.

Malah, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida akan membawa mereka untuk menunaikan Umrah dalam masa terdekat.

“Saya ingin mengambil mereka sebagai anak angkat dan membawa mereka semua ke rumah saya di Ipoh, Perak selama sebulan untuk menghilangkan trauma selepas terlibat dalam tragedi itu.

“Hanya mereka yang pernah terlibat dalam kejadian ini memahami dan saya sendiri pernah kehilangan anak yang terkorban dalam kebakaran dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat tahfiz tersebut malam tadi bersempena sambutan Awal Muharram 1439H.

Tambahnya, lapan kakitangan pusat tahfiz itu juga akan turut serta mengerjakan umrah bersama mereka.

Khamis lepas, 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban akibat terperangkap di asrama dalam tragedi kebakaran 5.15 pagi. – 22 September 2017.