20 Rumah Setinggan Musnah Terbakar

Sebanyak 20 rumah setinggan di Kampung Wakaf Mek Zainab di Kota Bharu musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Bagaimanapun tiada kemalangan nyawa dan kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.51 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama 31 anggota.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa hampir 45 minit mengawal kebakaran tersebut.

“Pada awalnya, kita mengalami kesukaran berikutan laluan masuk ke tempat kejadian sempit dan sukar dimasuki jentera bagi kerja-kerja memadam api.

“Bagaimanapun, anggota berjaya memadam kebakaran menggunakan punca air dari pili bomba berhampiran, air tangki serta pam jentera.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – 23 September 2017.