PAS Percaya Rakyat Kelantan Tolak PAN

PAS tetap yakin dengan kekuatannya sekali gus percaya parti serpihannya, PAN yang kini seolah-olah menjadi musuh utama bakal ditolak sepenuhnya oleh pengundi di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, hasil analisa yang dilakukan pihaknya, sokongan rakyat terhadap PAN didapati tidak sampai satu peratus dan situasi tersebut cukup membayangkan bagaimana nasib parti itu sekiranya ingin bertanding dalam pilihan raya.

“Kalau begitu keadaannya, bagaimana hendak bertanding. Sejarah membuktikan parti baharu, parti serpihan ini selalunya tidak ke mana-mana kecuali jika berlaku gelombang besar seperti Semangat 46 dan PKR satu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian sambutan Jubli Emas 50 tahun PAS Kota Bharu malam tadi.

PAN sebelum ini membayangkan akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di seluruh Kelantan dalam PRU-14.

Malah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan yakinnya sebelum ini turut menamakan Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan menang di negeri itu. – 23 September 2017.