Peringatan Tegas SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi peringatan tegas terhadap mana-mana pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga boleh mengganggu proses siasatan agensi tersebut.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, apabila sesuatu siastan dijalankan, mana-mana pihak diharap tidak memberikan sebarang komen atau pembelaan.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melakukan tindakan yang boleh menjejaskan siasatan. Hormatilah proses siasatan, kita melakukan siasatan mengikut undang-undang.

“Beri ruang kepada kami untuk siasat dan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kembara Jelajah Antirasuah 2017 (Kejar 17) sempena sambutan ulang tahun Jubli Emas SPRM Ke-50 peringkat negeri Kelantan hari ini.

Semalam Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dilaporkan berkata, bahawa penahanan tiga kakitangannya oleh SPRM adalah tidak berasas selain menegaskan bahawa mereka yang ditahan itu sebagai tidak bersalah.

Ketiga-tiga kakitangan Sivarasa iaitu Setiausaha Politik, pembantu peribadi dan keraninya direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM20,000. – 23 September 2017.