Projek Touch Point Baik Pulih 10 Rumah Di Parlimen Machang

Kesusahan hidup seorang ibu tunggal yang mendiami sebuah rumah usang di Kampung Lepan Peringat, di Machang Kelantan mendapat perhatian kerajaan melalui program baik pulih rumah di bawah projek Touch Point peringkat Parlimen Machang.

Menerusi program tersebut, rumah Norsiah Sahak, 57, yang didiami sejak lebih 30 tahun itu akan dibaik pulih secara gotong-royong melibatkan dana sebanyak RM10,000.

Norsiah yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, dia bersyukur kerana menjadi antara mereka yang bertuah dipilih di bawah program tersebut.

“Keadaan rumah saya agak daif terutamanya ketika musim hujan kerana bumbung rumah bocor. Selain itu, kebanyakan dinding rumah juga sudah rosak dimakan anai-anai.

“Namun menerusi bantuan ini, penantian saya untuk memiliki rumah yang lebih selesa akhirnya tercapai.

“Saya amat berterima kasih dan terharu dengan keprihatinan kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Baik Pulih Rumah di bawah Projek Touch Point secara gotong-royong di Kampung Lepan Peringat.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sementara itu, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, sebanyak 10 buah rumah di Parlimen berkenaan telah dipilih untuk dibaikpulih di bawah projek tersebut.

Menurutnya, pemilihan dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk rumah diduduki daif dan penerima mestilah warganegara.

“Program ini merupakan projek kerajaan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dilaksanakan secara gotong-royong membaik pulih rumah.

“Mereka yang terpilih adalah terdiri daripada golongan miskin yang berdaftar di bawah bank data kemiskinan Nasional (e-Kasih) di negeri ini,” katanya. – 23 September 2017.