PRU14: PAS Kata Pakatan Harapan Lalu Jalan Sukar

Konflik dan masalah yang dihadapi Pakatan Harapan membuktikan gabungan tersebut tidak mempunyai masa depan cerah sekali gus sukar untuk mendapat tempat di hati pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, situasi yang berlaku itu juga telah menjejaskan imej mereka.

“Kalau tengok keadaan sekarang, masa depan Pakatan Harapan gelap. Bukan hendak perlekeh, tetapi dengan perkembangan yang berlaku sekarang saya tidak nampak mereka berpeluang mendapat sokongan pengundi.

“Kita lihat PKR sekarang sudah berpecah dua. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula sudah berapa ramai pemimpin letak jawatan.

“DAP juga terpalit dengan masalah melibatkan isu rasuah yang dikaitkan dengan Lim Guan Eng,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Jubli Emas 50 tahun PAS Kota Bharu malam tadi.

Sehubungan itu katanya, rakyat tidak mempunyai pilihan selain menyokong PAS dan Gagasan Sejahtera sebagai alternatif menggantikam Barisan Nasional (BN) memerintah negara. – 23 September 2017.