RM200,000 Bina Jalan Perhubungan Desa

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk pembinaan Jalan Perhubungan Desa (JPD) dari Kampung Bukit Besi ke Lepan Peringat, di Machang Kelantan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, jalan itu menghubungkan tiga buah kampung iaitu Kampung Bukit Besi, Lepan Peringat dan Kerilla.

Katanya, pembinaan jalan sepanjang 2 kilometer (km) itu bakal memberi kemudahan kepada kira-kira 600 penduduk dari kampung sekitar.

“Jalan yang sedia ada sebelum ini mengalami kerosakan teruk kesan daripada banjir lumpur akibat perlombongan bijih besi .

“Jadi untuk JPD ini, kita membina jalan tar dan konkrit mengikut kesesuaian kawasan kerana ada sesetengah kawasan sering mengalami limpahan air temenung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian JPD Bukit Besi ke Lepan Peringat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Temangan Lama, Raja Busu Raja Ismail berkata, kemudahan jalan baharu ini amat dinanti-nantikan oleh penduduk kampung berkenaan.

“Sebelum ini, keadaan jalan di kawasan ini agak teruk sehingga menyukarkan penduduk setempat untuk menghantar anak ke sekolah mahupun keluar ke bandar.

“Malah ada sesetengah penduduk terpaksa melalui jalan lain yang agak jauh selain kawasan ini juga sering berlaku kemalangan seperti terjatuh lubang,” katanya. – 23 September 2017.