JBPM Diminta Percepat Pemeriksaan Keselamatan Pusat Tahfiz Di Kelantan

Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mempercepatkan pemeriksaan keselamatan terhadap premis pengajian agama di negeri itu terutama pusat tahfiz.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia bagi mengelakkan kejadian yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 14 September lepas terjadi di negeri itu.

“Apa yang berlaku di Jalan Keramat Ujung itu satu peristiwa yang menyayat hati. Kita reda dengan apa yang berlaku dan berharap kejadian itu tidak berulang lagi pada masa depan.

“Caranya adalah ikut syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan dan kita harap di Kelantan, pusat tahfiz akan mula diperiksa oleh JBPM Kelantan secepat mungkin supaya kejadian sama tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Kasih dan meninjau beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran dan DUN Pengkalan Kubor, Tumpat malam tadi.

Mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Selasa lepas mengesyorkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dipinda bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz swasta tertakluk di bawah akta itu dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri.

Cadangan itu adalah langkah proaktif dalam menangani isu-isu berkaitan sekolah tahfiz termasuk isu keselamatan memandangkan pengurusan sekolah-sekolah itu kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Turut dicadangkan, premis maahad tahfiz, sekolah agama, rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat asuhan kanak-kanak harus mematuhi piawaian keselamatan. – 24 September 2017.