Tidak Serius, Anwar Tidak Perlu Ke Hospital

Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam kemalangan kelmarin.

Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr. Jeyaindran Sinnathurai berkata, keadaannya itu setakat ini tidak memerlukan beliau dibawa ke hospital.

“Saya sudah periksa dia (semalam) dan keadaan dia stabil. Mungkin esok dia akan dibawa ke hospital atau pakar orthopedik datang periksa hari ini (di penjara).

“Memang keadaan dia tidak begitu serius. Esok tertakluk kepada pakar orthopedik, mungkin dia akan dibawa ke hospital untuk jalankan X-tray dan apa-apa (rawatan) yang perlulah.

“Untuk tahap sekarang ini tidak perlu dibawa ke hospital,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal online hari ini.

Menurut portal berkenaan, Jeyaindran menjelaskan selepas kemalangan 22 September lalu, Anwar mengalami ketegangan otot di bahagian leher dan tangan namun tidak serius.

Katanya, kemudahan rawatan sudah lengkap malah pemeriksaan terhadap Ketua Umum PKR itu akan dibuat secara kerap.

“Hari-hari doktor di penjara periksa dia (Anwar). Dan tadi (pagi) pun saya diberitahu dia stabil dan isterinya (Dr Wan Azizah Wan Ismail) akan lawat dia hari ini.

“Lagipun di penjara pun ada katil hospital dan kemudahan yang cukup. Kalau pakar perlu baru pergi (hospital) tapi saya rasa sekarang tidak perlu,” katanya.

Jumaat lalu, kenderaan yang membawa Anwar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke penjara Sungai Buloh terbabit dalam kemalangan di Saujana Utama sekitar jam 12.30 tengahari.

Anwar bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius namun anaknya Nurul Izzah Anwar menggesa bapanya segera dibawa ke hospital. – 24 September 2017.