Banyak Pusat Tahfiz Tidak Berdaftar Dengan Maik

Masih banyak pusat pengajian tahfiz di Kelantan tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah selepas merasmikan seminar loghat Kelantan di salah sebuah hotel di Kota Bharu semalam.

Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan kewujudan pusat tahfiz terbabit tidak diketahui oleh pihak berkenaan.

“Kita mahu institusi agama seperti pusat pengajian tahfiz segera berdaftar dengan Maik bagi memudahkan pemantauan dilakukan selain melancarkan proses untuk menyalurkan bantuan.

“Sekiranya mereka tidak berdaftar, kita tidak tahu kewujudan mereka. Kebanyakkan pusat pengajian tahfiz dan pondok di Kelantan diusahakan individu menyebabkan banyak kekurangan,” katanya.

Aspek keselamatan di pusat tahfiz menjadi isu berikutan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 14 September lalu yang mengorbankan 23 nyawa.

Susulan itu, polis menahan tujuh suspek yang terdiri daripada remaja berumur 11 hingga 18 tahun selepas siasatan mendapati kebakaran itu berpunca daripada angkara khianat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merumuskan bahawa kebakaran pusat tahfiz tersebut dilakukan dengan sengaja.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati petrol telah dicurahkan pada rak kasut, tuala dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama di tingkat tiga.

“Terdapat dua buah silinder gas petroleum cecair (LPG) berwarna hijau berbelang merah dijumpai di hadapan pintu masuk bilik asrama. Hasil siasatan mendapati kedua-dua silinder tersebut telah kosong dan injapnya dalam keadaan terbuka.

“Berdasarkan penemuan-penemuan tersebut, punca kebakaran adalah perbuatan sengaja dibakar,” kata Wan Mohd. Nor. – 24 September 2017.