Ibrahim Ali Ibaratkan Dirinya Sebagai Ronaldo

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali mengibaratkan dirinya sebagai pemain bola sepak terkenal Christiano Ronaldo.

Ibrahim mengambil ibarat itu selepas mendakwa beliau sering dilamar oleh pelbagai parti politik yang dahagakan semangat juangnya.

“Macam-macam parti lamar saya. Berderet-deret parti yang lamar. Sebab harga saya ‘mahal’.

“Saya ni ibarat Ronaldo, Manchester nak, Chelsea nak. Macam-macam yang datang tawarkan (masuk parti) kepada saya,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Perkasa Putrajaya.

Semalam, Ibrahim menyatakan hasratnya untuk bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada PRU-13, beliau yang bertanding di Parlimen Pasir Mas di bawah tiket Bebas tewas kepada calon PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dengan majoriti 8,991 undi.

Ibrahim pernah memenangi kerusi Pasir Mas pada 1986 di bawah tiket UMNO dan 1990 ketika bersama Semangat 46 pada 1995.

Beliau bagaimanapun tewas pada 1999 dan 2004, sebelum menang semula di kerusi sama pada 2008 di bawah tiket PAS.

Kali ini (PRU-14), beliau membayangkan akan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas lagi.

“Rakyat Pasir Mas dekat dengan saya. Setiap minggu saya balik ke kawasan bertemu mereka dan saya mahu membela nasib mereka sebagai wakil rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, belaiu mengakui semangat juangnya masih tinggi meskipun usianya kini menjejaki 66 tahun.

“Kalau saya tidak dibuang daripada UMNO dahulu, mungkin tidak wujud saya di Perkasa. Kalau tidak, bagaimana mahu bela nasib bangsa kita?

“Saya bagaimanapun tidak bermusuh dengan mana-mana parti politik. Sama ada UMNO mahu pun PAS. Saya hanya bermusuh dengan pihak yang mahu meranapkan agenda Islam,” katanya. – 25 September 2017.