Pakatan Harapan Hilang Tarikan Kata PAS

PAS menyifatkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP sudah hilang tarikan berikutan pelbagai masalah yang timbul dalam gabungan tersebut.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, situasi itu jelas apabila parti-parti dalam gabungan itu khususnya

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR berdepan dengan masalah perpecahan yang serius.

“Saya melihat pembangkang sekarang sudah hilang tarikan, PKR dengan masalahnya, parti bunga (PPBM) dengan masalah dia, PAN pula langsung tidak ada apa-apa.

“Jadi rakyat tidak ada pilihan lain sekarang, sebab itu kami tawarkan Gagasan Sejahtera kerana tiada keperluan untuk rakyat memilih Pakatan Harapan,” katanya.

Perpecahan di kalangan parti dalam Pakatan Harapan dilihat semakin ketara dengan PKR kini dikatakan mempunyai dua kem manakala PPBM pula mengalami masalah lebih serius dengan ramai pemimpin mereka bertindak keluar parti.

Antara pemimpin PPBM yang keluar parti itu termasuk Bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman; Datuk Mohd. Ezam Mohd Nor; Anina Saadudin, Kamarul Habibur Rahman dan Hasnita Hishamudin.

Mereka yang keluar itu dikatakan tidak senang dengan budaya PPBM yang tidak mewakili Melayu selain mendakwa pemimpin-pemimpin kanan parti itu mengamalkan budaya kronisme. – 24 September 2017.