Pemangku Raja Kelantan Dimasyhurkan Sebagai Canselor UMK

Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu bagi menggantikan kekandanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Watikah pemasyhuran dan pelantikan baginda sebagai canselor UMK itu dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam upacara penuh adat istiadat di Dewan Keusahawanan, Kampus Kota UMK, Pengkalan Chepa.

Sementara itu ketika bertitah, baginda menzahirkan rasa gembira di atas kesempatan untuk terus menabur bakti di UMK.

Titah baginda, UMK yang sudah menjangkau usia 10 tahun telah berjaya memberi sumbangan amat besar bukan sahaja terhadap dunia pendidikan negara tetapi kepada pembangunan sosio ekonomi masyarakat khususnya di negeri itu.

“Beta percaya UMK telah memberi impak terhadap pembangunan ilmu, minda dan kesejahteraan masyarakat dengan kewujudan tiga kampus pengajian iaitu di Pengkalan Chepa, Bachok dan Jeli, ” titah baginda.

Tengku Muhammad Fa-iz adalah Canselor UMK ketiga selepas Sultan Muhammad V dan Sultan Ismail Petra. – 25 September 2017.