Rakyat Penentu Masa Depan

Rakyat Kelantan terutama golongan belia menjadi penentu kepada masa hadapan mereka.

Justeru, seluruh rakyat perlu bangkit dengan berfikir jauh ke hadapan bagi memastikan negeri itu terus berdaya maju.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, ia selaras dengan anjakan paradigma Malaysia menuju negara maju.

“Perubahan tersebut perlu dilakukan bukan sahaja dari segi fizikal malah untuk pembangunan rohani.

“Jadi, inilah masa untuk kita mengubah kerajaan Kelantan dan ia mesti bertindak mulai sekarang,” katanya selepas mengadakan perjumpaan Khas bersama Belia Kelantan di Dewan Utama Badan Perhubungan UMNO negeri.

Dalam pada itu, Mohamad Fatmi berkata, kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan Kelantan meskipun negeri itu dikuasai pembangkang sepenuhnya.

Katanya, kerajaan pusat telah menyediakan pelbagai peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan di Kelantan.

“Kalau ada yang mendakwa kerajaan pusat telah menganaktirikan Kelantan adalah tidak betul. Tetapi kerajaan PAS Kelantan sendiri yang menganaktirikan rakyatnya kerana setiap janji yang dibuat oleh mereka tidak ditunaikan.

“Malah akhirnya kerajaan pusat yang melaksanakan janji yang dibuat oleh mereka seperti pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai,” katanya. – 25 September 2017.